ETIKA KERAHSIAAN

Kami menggunakan etika yang telah disediakan oleh PERKAMA dan juga LEMBAGA KAUNSELOR MALAYSIA. Dalam memberikan perkhidmatan kami juga berpandukan kepada American Psychological Association untuk menjaga kerahsiaan klien. Semua nama dan maklumat yang diberikan kepada kami tidak akan diberikan kepada pihak ketiga untuk apa-apa tujuan dan kegunaan pun. Maklumat yang kami peroleh dari anda ialah alamat emel anda dan butiran diri serta pemasalahan yang anda hantar kepada kami. Itu sahaja. Selepas anda menghantar e-mel anda kepada kami, selepas kami memprosesnya dan sesi kita ditamatkan maka segala informasi yang disimpan akan dimusnahkan. Kami akan memastikan hanya kaunselor anda sahaja yang melihat dan membaca emel dan pemasalahan yang anda hantar.

SKOP ETIKA



Kod Etika Kaunselor ini terbahagi kepada lima bahagian iaitu:
Bahagian A   : Tanggungjawab Kaunselor. 
Bahagian B   : Perkhidmatan Persendirian. 
Bahagian C   : Penyelidikan Dan Penerbitan. 
Bahagian D   : Latihan. 
Bahagian E   : Pengukuran Dan Penilaian.


BAHAGIAN A: TANGGUNGJAWAB KAUNSELOR


Bahagian ini menerangkan tatalaku kaunselor dalam melaksanakan tanggungjawab terhadap profesion, klien, rakan profesional, organisasi/majikan dan masyarakat.



Bahagian A1: Tanggungjawab Kaunselor Terhadap Profesion
 
1) Pengetahuan tentang etika :
Kaunselor bertanggungjawab memahami dan mematuhi Kod Etika Kaunselor Malaysia (Lembaga Kaunselor) serta menggunakannya sebagai panduan dalam memberikan perkhidmatan kaunseling. Kaunselor hendaklah menjaga tatalaku demi memelihara piawai dan identiti sebagai seorang kaunselor dan keutuhan profesion kaunseling.

2) Meningkatkan kecekapan :
Kaunselor hendaklah sentiasa berusaha menilai dan meningkatkan pengetahuan, kecekapan, dan kemahiran dalam bidang profesionya. Kaunselor perlu mengemaskini kecekapan dan kemahiran tersebut dengan latihan berterusan.

3) Memupuk nilai-nilai moral :  
Kaunselor hendaklah berusaha memupuk ciri-ciri moral dan personal yang dianggap penting dalam memberi khidmat yang beretika. Nilai-nilai moral yang perlu dipupuk adalah seperti berikut:
  • Empati -  Kebolehan menyampaikan kefahaman tentang pengalaman seseorang dari perspektif orang tersebut.
  • Intergriti –  berusaha ke arah sikap bermoral dalam hubungan dengan orang lain dengan menekankan keikhlasan dan konsistensi antara tingkah laku dan percakapan.
  • Daya tahan –  terus berusaha membantu klien tanpa rasa putus asa.
  • Kesedaran kendiri – keupayaan menilai secara tepat dan mengakui kekuatan dan kelemahan diri.
  • Kebijaksanaan – mampu membuat keputusan dengan berhemah.
  • Keberanian – berupaya bertindak walaupun berada dalam keadaan berisiko dan ketidakpastian.
  • Spiritual – berusaha meningkatkan nilai dan amalan kerohanian sebagai salah satu aspek kehidupan
4) Penyeliaan :
Kaunselor hendaklah melalui proses penilaian dan penyeliaan serta dinilai tugas kaunselingnya oleh penyelia profesional secara berterusan. Dalam mengamalkan kepakaran baru kaunselor perlu mendapatkan pendidikan, latihan dan penyeliaan yang diiktiraf sebelum mengamalkan kepakaran tersebut.


5)Kecekapan Profesionalisme :

Kaunselor hendaklah memberi perkhidmatan kaunseling mengikut bidang kepakaran dengan tidak melangkaui sempadan kepakaran berasaskan kepada pendidikan, latihan, dan pengalaman yang diselia. Kaunselor tidak menjalankan kaunseling, konsultasi, dan menyampaikan maklumat dalam bidang di luar kepakarannya.


6) Kesedaran ketidakupayaan :

Kaunselor hendaklah sedar terhadap sebarang ketidakupayaannya dari segi fizikal, mental, dan emosi yang boleh menjejaskan fungsi sebagai seorang profesional. Kaunselor harus menghindari daripada memberi khidmat kaunseling profesional apabila mendapat tanda-tanda tersebut. Kaunselor perlu merancang dan membuat persediaan untuk pemindahan rekod dan kes klien kepada rakan profesional yang dikenal pasti jika terjadi ketidakupayaan, kematian ataupun menamatkan amalan.


7) Konflik kepentingan :

Kaunselor perlu mengelakkan keadaan yang boleh menyebabkan konflik kepentingan diantara dirinya dengan klien. Sekiranya konflik ini berlaku, kaunselor perlu membuat keputusan mengutamakan kepentingan klien dengan tujuan untuk mengekalkan kepercayaan terhadap profesion kaunseling.

Bahagian A2: Tanggungjawab Kaunselor Terhadap Klien.



1) Menjaga Kepentingan Klien :

Kaunselor mengutamakan kepentingan klien berbanding dengan kepentingan sendiri. Dalam kes-kes di luar kemampuan kaunselor maka dengan persetujuaan klien sesi perlu ditamatkan dan /atau dirujuk kepada kaunselor atau profesional lain.


2) Menghormati dunia persendirian klien :
Kaunselor hendaklah menghormati dunia persendirian klien termasuk perkara sulit dan peribadi melainkan perkara itu membahayakan klien atau orang lain.


3) Kerahsiaan :

Kaunselor hendaklah menjaga kerahsiaan maklumat klien yang diperoleh semasa sesi kaunseling kecuali maklumat itu membahayakan klien dan orang lain, dan di atas tuntutan undang-undang.


4) Pengetahuan pelbagai budaya :

Kaunselor hendaklah memahami dan menghormati latar belakang sosiobudaya klien. Kaunselor perlu menyedari perbezaan nilai dan kepercayaan dengan klien pelbagai budaya supaya dapat bertindak adil dan bersikap terbuka dalam sesi kaunseling.


5) Kesejahteraan klien :

Semasa perhubungan kaunseling, kaunselor hendaklah memelihara kesejahteraan fizikal dan psikologi klien, dan tidak mengambil kesempatan ke atas klien untuk kepentingan diri sendiri dalam apa bentuk sekalipun. Dalam kes-kes di mana keselamatan fizikal klien terancam, keutamaan hendaklah diberikan kepada keselamatan klien.


6) Gangguan seksual :

Kaunselor dilarang sama sekali melakukan sebarang bentuk gangguan dan hubungan seksual dengan klien, bekas klien dan ahli keluarga mereka.


7) Menghormati keputusan klien : Kaunselor hendaklah memupuk sikap bertanggungjawab klien terhadap tingkah lakunya  dan menghormati keputusan atau penentuan kendiri yang dibuat oleh klien.



8) Keadilan :

Kaunselor perlu berlaku adil dan tidak boleh mengamalkan diskriminasi berasaskan etnik, jantina, agama, status, ideologi, kecacatan fizikal, mental atau apa-apa bentuk sekali pun.


9) Membekalkan maklumat :

Kaunselor hendaklah menjelaskan kepada klien mengenai keperluan, proses dan implikasi perkhidmatan kaunseling.


10) Kebenaran bermaklum :

Kaunselor hendaklah mencapai persetujuaan bermaklum dengan kliennya di peringkat awal sesi kaunseling mengenai batasan kerahsiaan dan hal-hal lain mengenai proses kaunseling. Apa-apa persetujuaan di antara kaunselor dan klien mengenai kerahsiaan boleh disemak dan diubah dengan persetujuaan bersama.


11) Budibicara kaunselor :

Dalam kes yang jelas terbukti bahawa klien mengikut pertimbangan kaunselor menunjukan dengan jelas , diri klien atau orang lain dalam keadaan bahaya, kaunselor hendaklah menggunakan budi bicaranya mengambil tindakan wajar untuk menjaga kepentingan klien dan orang lain yang terlibat.


12) Larangan dalam hubungan dwi :

Kaunselor hendaklah menghindari diri  daripada memberi perkhidmatan kaunseling kepada klien yang mempunyai hubungan intim dengannya seperti keluarga, sahabat karib, ataupun mereka yang mempunyai hubungan pentadbiran dan penyeliaan dengannya.


13) Kebebasan klien menamatkan sesi :

Kaunselor hendaklah memastikan bahawa klien yang diberi khidmat kaunseling tidak menjalankan kaunseling dengan kaunselor lain pada masa yang sama. Bagaimanapun kaunselor tidak boleh menghalang klien yang hendak menamatkan sesi kaunseling atau ingin menukar kepada kaunselor yang lain. keputusan klien mesti dihormati.


14) Rujukan :

Kaunselor perlu merujuk klien kepada profesional lain sekiranya mengikut pertimbangan kaunselor, klien memerlukan perkhidmatan luar daripada bidang kepakarannya atau profesional lain. Rujukan ini hendaklah dilakukan dengan persetujuaan klien dan satu laporan rujukan secara bertulis perlulah disediakan kepada profesional yang dirujuk. Perhatian sewajarnya perlu diambil untuk memastikan penerimaan rujukan dapat memberi khidmat yang diperlukan, kerahsiaan terus dibekalkan dan klien mendapat manfaat dalam proses rujukan.


15) Kemudahan kaunseling :

Kaunselor hendaklah menyediakan tempat yang boleh memelihara keselesaan dan kerahsiaan sesi kaunseling. Klien tidak seharusnya diperhatikan oleh orang lain melainkan dengan kebenarannya termasuk sesi kaunseling yang dirakam melalui cara audio dan video.


16) Rekod kaunseling :

Kaunselor dikehendaki membuat laporan dan menyimpan rekod sesi kaunseling dengan selamat. Semua rekod perlu dirahsiakan.


17) Pendaftaran dan sijil amalan :

Semua kaunselor yang menjalankan sesi kaunseling mesti mendaftarkan diri serta memperolehi sijil amalan dengan Lembaga Kaunselor Malaysia sepertimana dikehendaki di bawah Seksyen 26 dan 28 Akta Kaunselor 1998 (Akta 580).


Bahagian A3: Tanggungjawab Kaunselor Terhadap Rakan Profesional.



1) Kecekapan : 

Kaunselor hendaklah saling berusaha untuk meningkatkan tahap kecekapan profesional masing-masing secara berkesan.


2) Sikap Hormat, Adil dan Terbuka :

Kaunselor hendaklah menunjukkan sikap hormati, adil dan terbuka terhadap rakan profesional.


3) Mencegah, Memperbetul atau Melapor Perlakuan :

Kaunselor bertanggungjawab untuk mencegah, memperbetul dan melapor perlakuan rakan kaunselor yang tidak beretika.


4) Menyokong Rakan Kaunselor : 

Kaunselor hendaklah bersedia untuk mempertahan, membantu serta membela rakan kaunselor yang teraniaya akibat tuduhan dan tohmahan perlakuan yang tidak beretika.

Bahagian A4: Tanggungjawab Terhadap Organisasi/ Majikan.



1) Persetujuan/Perjanjian :

Kaunselor hendaklah mematuhi perjanjian yang dipersetujui dengan organisasi tempat beliau berkhidmat.


2) Mematuh Dasar dan Prosedur :

Kaunselor hendaklah menyediakan perkhidmatan yang berkesan dan berkualiti selaras dengan dasar dan prosedur organisasi.


3) Mencegah Diskriminasi :

Kaunselor hendaklah bertindak untuk mencegah diskriminasi dalam organisasi dan dalam perlaksanaan polisi amalan kerja.


4) Mengelak Salahguna Kemudahan :

Kaunselor tidak boleh menyalahgunakan kemudahan dan sumber organisasinya.


5) Kelulusan dan Kepakaran :

Kaunselor hendaklah menyatakan bidang kepakaran dan tahap kecekapan profesionalnya.


6) Menjalin Hubungan Profesional :

Kaunselor hendaklah mewujudkan hubungan yang baik dengan penyelia dan staf yang lain bagi menjamin keberkesanan perkhidmatan kaunseling. Kaunselor juga hendaklah memberi kefahaman kepada semua pihak dalam organisasi tentang perbezaan di antara maklumat umum dengan maklumat khusus serta aspek kebertanggungjawaban.


7) Penilaian Kendiri :
Kaunselor hendaklah sentiasa menilai keupayaan kendiri serta membenarkan dirinya dinilai secara profesional dari masa ke masa.


8) Peningkatan Kerjaya :

Kaunselor hendaklah bersama-sama organisasi bertanggungjawab ke atas peningkatan kerjaya untuk diri dan staf lain.


9) Advokasi :

Kaunselor dikehendaki membela, menyokong dan memperjuangkan perkhidmatan kaunseling pada semua peringkat dalam organisasi tempat beliau berkhidmat dan dalam masyarakat.


10) Konsultasi :

Kaunselor bertanggungjawab menyediakan sumber dan kecekapan serta rujukan yang sesuai dalam memberi perkhidmatan perundingan apabila diperlukan.


Bahagian A5: Tanggungjawab Kaunselor Terhadap Masyarakat.



1) Menghormati Perbezaan Budaya :

Kaunselor hendaklah memahami dan menghormati unsur sosiobudaya masyarakat di mana dia berkhidmat.


2) Mematuhi Undang-undang :

Kaunselor hendaklah mematuhi undang-undang negara dan melaksanakan tugasanya berlandaskan  Akta Kaunselor 1998 (Akta 580).


BAHAGIAN B: PERKHIDMATAN PERSENDIRIAN



Bahagian ini merangkumi pengiklanan, pengurusan dan fi dalam perkhidmatan kaunseling.



Bahagian B1: Pengiklanan



1) Kelulusan profesional :

Dalam menjalankan perkhidmatannya, kaunselor hendaklah menyatakan secara benar, lengkap, tepat dan tidak mengelirukan mengenai:
  • Kelulusan tertinggi yang berkaitan
  •  Bidang kepakaran,
  • Jenis perkhidmatan,
  • Penerangan mengenai perkhidmatan,
  • Sijil pendaftaran
  • Sijil Amalan.
2) Pengiklanan yang tepat :
Kaunselor yang berkhidmat dengan mana-mana organisasi tidak dibenarkan menggunakan nama organisasi tersebut dalam iklan kecuali dengan kebenaran organisasinya. Kaunselor tidak boleh mengiklankan affiliasinya dengan sesuatu organisasi sehingga memberikan gambaran palsu bahawa organisasi itu menaja atau mengisahkan perkhidmatannya.

3) Perkhidmatan di luar organisasi :
Kaunselor tidak boleh memberi perkhidmatan kaunseling dan konsultasi kecuali dengan kebenaran organisasinya.

4) Menyalahgunakan keahlian :
Kaunselor tidak boleh menggunakan keahlian dalam sesuatu pertubuhan/Persatuan Kaunseling sebagai perlakuan amalan yang sah.

Bahagian B2: Pengurusan

1) Pematuhan undang-undang :
Kaunselor hendaklah mematuhi undang-undang dan peraturan mengenai perkhidamatan persendirian di tempat perkhidmatannya.

2) Kesempatan untuk mendapatkan klien :
Kaunselor tidak boleh menggunakan affiliasinya dengan sesuatu organisasi yang dianggotainya untuk mendapatkan klien bagi perkhidmatan persendirian.

3) Pengambilan pekerja yang tidak berkelayakan :
Kaunselor yang menjalankan perkhidmatan persendirian tidak boleh mengambil pekerja yang tidak berkelayakan dan tidak berdaftar untuk menjalankan khidmat kaunseling.


Bahagian B3: Fi



1) Fi berpatutan :
Fi yang dikenakan ke atas klien dalam setiap sesi kaunseling mestilah  selaras dengan garis panduan yang dikeluarkan oleh Lembaga Kaunselor Malaysia. Jika fi dikenakan, Kaunselor hendaklah memastikan bahawa fi itu berpatutan dan seimbang dengan perkhidmatan yang diberi. Kemampuan klien hendaklah diambil kira.


2) Pemberitahuan tentang Fi :

Kaunselor hendaklah memberitahu terlebih dahulu kadar fi yang dikenakan pada awal sesi kaunseling.


3) Larangan menerima Fi Rujukan :  
Kaunselor tidak dibenarkan menerima sebarang fi atas urusan merujuk klien kepada ahli profesional yang lain.


BAHAGIAN C: PENYELIDIKAN DAN PENERBITAN


Bahagian ini memberi garis panduan tentang etika penyelidikan dan penerbitan. Ia merangkumi proses dan persetujuaan subjek dalam penyelidikan.



Bahagian C1: Etika Penyelidikan 



1) Pematuhan etika penyelidikan :

Kaunselor mempunyai tanggungjawab untuk mematuhi etika penyelidikan di organisasi atau institusi pengajian tinggi tertentu.


2) Kesejahteraan dan kebajikan subjek :

Kaunselor perlu menjaga kesejahteraan serta kebajikan subjek sepanjang kajian dijalankan dan hendaklah membuat pengawasan yang sewajarnya untuk mengelakkan berlakunya sebarang kesan negatif psikologi, fizikal atau sosial subjek.


3) Kepatuhan pembantu penyelidik terhadap amalan etika :

Kaunselor hendaklah bertanggungjawab untuk menentukan bahawa amalan etika juga dipatuhi oleh pembantu penyelidiknya serta mereka yang terlibat  dalam penyelidikan.

4) Laporan penyelidikan :

Kaunselor perlu melaporkan pertemuan dalam penyelidikan secara jujur dan tidak memalsukan data semata-mata untuk menarik hati penaja.


Bahagian C2: Persetujuan Subjek



1) Penyertaan secara sukarela :

Penyertaan dalam penyelidikan adalah secara sukarela. Penyertaan bukan sukarela hanyalah wajar jika telah terbukti bahawa penyertaan tidak membawa kemudharatan kepada subjek  dan benar-benar diperlukan bagi kajian tersebut.

2) Maklumat jelas tentang penyelidikan :

Dalam kajian yang menggunakan klien sebagai subjek sama ada secara langsung atau tidak, setiap klien mestilah dimaklumkan dengan jelasnya mengenai tujuan, kaedah kajian, kemungkinan faedah, kesan buruk, sebarang ketidak-selesaan dan kesukaran yang mungkin dirasai oleh klien.

3) Persetujuaan bermaklum :

Persetujuaan bermaklum perlu dibuat secara bertulis apabila klien bersetuju untuk menjadi subjek dalam penyelidikan.


4) Hak subjek penyelidikan :

Klien perlu dimaklumkan tentang haknya untuk menarik diri pada bila-bila masa, dan penarikan dirinya tidak akan memberi sebarang kesan terhadap perkhidmatan yang diterima.

5) Maklumat terselindung :

Dalam menjalankan sesuatu kajian, kemungkinan penyelidik perlu menggunakan maklumat terselindung (withholding information) atau maklumat yang tidak tepat (providing misinformation). Sebelum menjalankan kajian tersebut, penyelidik hendaklah menentukan bahawa:
  • Penggunaan teknik itu wajar dan sesuai dengan budaya, nilai saintifik, pendidikan atau terapan.
  • Tidak terdapat prosedur alternatif yang lebih wajar dan,
  • Subjek diberi penjelasan yang cukup dengan  secepat mungkin.
6) Limitasi dan keselamatan subjek kanak-kanak :
Semasa menjalankan penyelidikan, jika subjek kajian terdiri daripada kanak-kanak atau mereka yang mempunyai kecacatan yang menghadkan kefahaman dan/atau komunikasi, penyelidik hendaklah mengambil prosedur langkah-langkah keselamatan yang wajar.

7) Kerahsiaan penyelidikan :
Semasa menjalankan penyelidikan, maklumat peribadi subjek hendaklah dirahsiakan kecuali dengan persetujuaan subjek. Jika terdapat kemungkinan orang lain memperoleh maklumat itu kaunselor perlu menerangkan tentang kemungkinan ini serta perancangan untuk mengawal kerahsiaan.

Bahagian C3: Penerbitan

1) Etika Penerbitan :
Kaunselor bertanggungjawab mematuhi etika penerbitan dan undang-undang hakcipta dalam menerbitkan hasil penyelidikan.

2) Ketepatan Maklumat :
Hasil kajian hendaklah dilaporkan dengan tepat dan lengkap.


3) Kerahsiaan Subjek :

Apabila memberikan maklumat kepada penyelidik lain yang memerlukan data asal, kaunselor hendaklah melindungi identiti subjek kecuali dengan kebenaran subjek tersebut


BAHAGIAN D: LATIHAN


Bahagian ini memberi garis panduan latihan, peluang bekerja dan segala maklumat yang diperlukan oleh kaunselor pelatih.



1) Kandungan program latihan kaunselor :

Pendidik kaunselor hendaklah menerangkan kepada kaunselor pelatih tentang  keperluan dan kandungan program latihan serta peluang perkerjaan yang ada sebelum kaunselor pelatih mengikuti program tersebut.


2) Posisi latihan yang jelas :

Pendidik kaunselor hendaklah mempunyai polisi yang jelas mengenai latihan praktikum dan peranan kaunselor pelatih serta pengajar


3) Maklumat tentang kaunselor pelatih :

Klien hendaklah diberitahu  jika dia diberi khidmat kaunseling oleh kaunselor pelatih dan juga diberitahu implikasi ke atas batas kerahsiaan.


4) Kemahiran pendidik kaunselor :

Pendidik kaunselor yang bertanggungjawab dalam bidang latihan mestilah mahir sebagai pengajar dan pengamal.


5) Maklumat yang  benar :
Pendidik kaunselor hendaklah memberi maklumat yang  benar tentang  kelayakn, kecekapan latihan dan pengalaman mereka.


6) Penyalahgunaan kedudukan pendidik kaunselor :
Pendidik kaunselor mestilah tidak menyalahgunakan kedudukannya sebagai pengajar atau penyelia kaunselor pelatih di luar bidang profesional atas kepentingan peribadi, perhubungan emosi atau seksual.


7) Mengelak kecederaan psikologi :

Apabila merancang dan melaksanakan aktiviti latihan berbentuk pengalaman langsung (experiential activities) kaunselor hendaklah sentiasa peka kepada kemungkinan berlaku kecederaan psikologi terhadap klien individu atau kumpulan. Kaunselor perlu mendapat persetujuaan termaklum klien. sekiranya terdapat tanda-tanda kesan psikologi negatif terhadap klien, kaunselor bertanggungjawab untuk membuat susulan dan pemulihan.


BAHAGIAN E: PENGUKURAN DAN PENILAIAN


Bahagian ini memberi garis panduan dalam menjalankan pengukuran dan penilaian dalam perkhidmatan kaunseling:



1) Maklumat lengkap ujian psikologi :

Kaunselor hendaklah memberi maklumat yang lengkap mengenai alat ujian psikologi supaya keputusan ujian psikologi tersebut itu dapat diterima oleh klien dalam perspektif yang betul. Tujuan dan kegunaan keputusan hendaklah diberitahu kepada klien sebelum ujian diberi kecuali pengecualian hak eksplisit dipersetujui terlebih dahulu.


2) Kemahiran ujian psikologi :

Kaunselor hendaklah berhati-hati dalam menggunakan ujian psikologi. Beliau hendaklah  menggunakan ujian psikologi yang beliau mempunyai kelayakan dan kemahiran untuk mentadbir dan menginterpretasikan keputusan ujian psikologi itu.


3) Keputusan tepat :

Kaunselor hendaklah memberi keterangan yang tepat apabila membuat kenyataan kepada orang awam mengenai keputusan ujian psikologi dan kaedah pengujian.


4) Tafsiran keputusan psikologi :

Kaunselor hendaklah mengawasi supaya keputusan ujian psikologi tidak disalah erti atau disalah gunakan. Semua tafsiran keputusan psikologi dibuat secara berhati-hati supaya tiada kecederaan psikologi berlaku terhadap klien.